Monday, 8 December 2014

BUKU PILIHAN BULAN INI : DIAGNOSIS karya Dr Anwar Fazal, Dr Aizzat & Dr Azah. Publisher : DUBOOK PRESS



            Perubatan bukan suatu yang mudah. Untuk kita mengenalinya, perlu datang dengan jiwa suka untuk membantu. Mesti datang dengan jiwa suka perkara yang mencabar. Mesti datang dengan jiwa yang ikhlas untuk menelan ilmu. Mesti datang dengan jiwa yang kaya dengan kesungguhan. Ramai adik-adik di luar sana yang bercita-cita mahu menjadi seorang doktor, namun hakikatnya mereka sendiri tidak tahu akan apa yang perlu untuk dikorbankan untuk menjadi seorang doktor. Belajar ilmu perubatan bukan semudah ABC. Perlu dipelajari secara berperingkat dan berterusan. Perlu dengan keyakinan dan kegigihan.


            Segalanya terpapar cantik dan molek dalam buku ‘DIAGNOSIS’ tulisan 3 doktor muda, Dr Anwar Fazal, Dr Aizzat dan Dr Azzah. Sangat cantik cerita yang mereka sudi kongsikan dalam buku ini. Sangat cantik. Cantik sehingga bisa membuatkan pembacanya sedar dan peka dengan kehidupan sebagai seorang pegawai perubatan lebih-lebih lagi seorang doktor. Di dalam buku ini hanya dimuatkan sebanyak 21 buah cerita pendek. Sangat pendek. Pendek tapi padat dengan nilai. Nilai kemanusiaan.


            Cerita-ceritanya juga membuatkan mereka yang bukan berada di landasan ini faham dan mengerti akan perjalanan seorang doktor dalam menempuhi dan melayari kehidupannya sebagai seorang penyelamat. Penyelamat jasad juga jiwa. Bukan mudah. Bukan juga sukar. Segalanya mungkin dengan adanya kepercayaan kepada Maha Pencipta. Nilai yang ditonjolkan dalam cerita ini cukup mudah difahami. Walaupun hanya memuatkan 21 cerita pendek, namun cukup. Cukup untuk tatapan semua. Cukup untuk menguar-uarkan pada semua. Cukup untuk menjelaskan. Cukup juga untuk membetulkan kepincangan dalam berfikir. Cukup. Secukup rasa.



            Tidak rugi sekiranya berbelanja sebanyak RM20 untuk buku senipis 142 muka surat ini. Kerana saya berani untuk menjamin satu kepuasan. Kepuasan untuk semua yang sudi membaca. Daripada membaca buku novel yang entah ke mana halatujunya. Daripada membaca buku-buku berkisarkan cinta yang sebenarnya wujud semanis yang dicerita. Daripada membelek buku-buku yang hanya tahu menjual temberang. Pergilah ke kedai buku berdekatan dan cabar diri untuk ambil dan beli buku ‘DIAGNOSI’ ini. Kepuasan terjamin. Dijamin terbaik dari ladang. 

No comments:

Post a Comment